Aktiviti & Makluman

5 negeri berisiko dilanda banjir kilat, ini senarai kawasan terlibat

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di beberapa kawasan di Perak, Selangor, Johor, Kedah dan Sarawak.
JPS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan notis yang dikeluarkan pada 5 petang tadi adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS bahawa terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.
Di Perak, kawasan berisiko terjejas ialah Daerah Batang Padang (Sungkai serta kawasan sekitarnya), Daerah Larut, Matang dan Selama (Bukit Gantang, Sungai Limau, Pengkalan Aor, Jebong, Asam Kumbang serta kawasan sekitarnya), Daerah Mualim (Hulu Bernam Timur serta kawasan sekitarnya) dan Daerah Perak Tengah (Pasir Panjang Hulu, Layang-Layang serta kawasan sekitarnya).